HANGZHOU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau menghormati pendirian Anthony Loke Siew Fook yang menawarkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan atas dasar prinsip, tetapi menegaskan perkara itu masih belum dibincangkan secara terperinci.

Bercakap kepada media dalam kereta api laju dari Shanghai ke sini, Anwar berkata beliau mahu mendengar penjelasan Loke sendiri sebelum membuat sebarang keputusan.

"Saya nak dengar penjelasan dia. Tentu dia letak atas dasar prinsip kerana dia rasa sepanjang puluh tahun ini kita bergerak menentang kleptokrasi, amalan rasuah. Jadi sukar bagi dia mempertahankan," katanya.

Peletakan jawatan itu belum diterima. Anwar berkata beliau mahu memberi ruang kepada Loke, dan akan menjelaskan implikasi pendirian tersebut apabila mereka bertemu nanti.

Menurutnya, perkara itu memerlukan kesabaran dan kebijaksanaan.

Had kuasa kerajaan

Anwar turut menegaskan kerajaan mempunyai had dalam soal pengampunan, kerana kuasa itu terletak pada Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.

Loke mengumumkan tawaran peletakan jawatannya pada Sabtu, selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, susulan pengampunan bersyarat yang membolehkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukumannya dalam tahanan rumah.

Beliau kekal sebagai Setiausaha Agung DAP, manakala menteri dan timbalan menteri DAP yang lain meneruskan tugas seperti biasa.

Setakat ini, tiada pengganti dinamakan bagi portfolio pengangkutan, dan Loke masih memegang jawatan itu.

← Kembali ke halaman utama