KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mencari penyelesaian rentas kementerian terhadap lambakan barangan berharga terlalu murah di platform e-dagang, yang menurut Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil menjejaskan peniaga tempatan, termasuk ramai usahawan Bumiputera.

Fahmi berkata kementeriannya menerima aduan daripada pemilik kedai berhubung barangan yang dijual tanpa pemantauan, tidak berkualiti dan pada harga yang sukar ditandingi.

"Saya jaga sektor telco, sektor kurier... kita nampak ada aduan daripada pemilik kedai sebab sekarang ini, banyak barang yang dijual tidak berkualiti, tiada pemantauan malah terlalu murah sehingga peniaga-peniaga kita, ramai bumiputera yang sangat terkesan," katanya.

"Jadi, saya mahu selesaikan bersama Kementerian Kewangan dan KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup)," katanya.

Fahmi berkata demikian ketika menjadi tetamu program audio siar The Tiger Show Podcast yang dihoskan wartawan Amin Iskandar.

Beliau menyifatkan kawal selia ekonomi digital berasaskan e-dagang secara kolaborasi antara kementerian sebagai misi utama kementeriannya ketika ini.

Menurut Fahmi, tanpa tindakan segera, pasaran tempatan berisiko dibanjiri produk, khususnya barangan elektrik dan elektronik, yang tidak menepati piawaian Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) dan boleh membahayakan pembeli.

Beliau tidak memperincikan langkah khusus yang sedang dipertimbangkan atau garis masa pelaksanaannya.

← Kembali ke halaman utama