KUALA LUMPUR: Pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada Jumaat tidak bermakna Datuk Seri Najib Razak boleh terus pulang. Antara keputusan itu dan pintu rumahnya, ada sekurang-kurangnya tiga perkara yang perlu selesai dahulu, dan satu daripadanya belum pun bermula.

Denda RM50 juta

Syarat pertama dan paling jelas ialah pembayaran denda RM50 juta yang dikenakan mahkamah. Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata jumlah itu perlu dijelaskan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum proses tahanan rumah boleh bergerak.

Setakat ini, denda tersebut belum dijelaskan. Umno melancarkan Tabung Solidariti Najib Razak pada petang Jumaat bagi mengumpulkan jumlah berkenaan, dan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata kutipan mencecah RM1 juta dalam tempoh 24 jam. Itu kira-kira dua peratus daripada sasaran.

Surat rasmi Lembaga Pengampunan

Perkara kedua bersifat pentadbiran, tetapi tidak boleh dilangkau. Jabatan Penjara Malaysia perlu menerima surat rasmi daripada Lembaga Pengampunan mengenai keputusan yang dibuat, sebelum ia boleh memuktamadkan prosedur pelaksanaan.

Tanpa surat itu, jabatan berkenaan tidak mempunyai asas dokumen untuk bertindak.

SOP yang belum wujud

Perkara ketiga yang paling rumit. Mohd Dusuki berkata beliau difahamkan satu prosedur operasi standard akan dikeluarkan bagi tujuan tahanan rumah, meliputi aspek lawatan, kawalan serta pemantauan pergerakan.

Masalahnya, Malaysia tidak mempunyai akta tahanan rumah.

"Memang tiada lagi akta tahanan rumah. Mungkin akan wujudkan SOP khusus untuk beliau," kata sumber kepada Utusan Malaysia.

Sumber sama berkata belum dapat dipastikan sama ada prosedur operasi standard sedia ada boleh digunakan, atau satu SOP khusus perlu diwujudkan. Antara kemungkinan yang dibincangkan ialah mekanisme yang menyerupai parol.

Lokasi tahanan juga belum diumumkan.

Syarat yang yang perlu di ikut selepas itu

Pengampunan bersyarat berkuat kuasa sehingga 23 Ogos 2028, iaitu tarikh tamat hukuman semasa Najib. Ia tertakluk kepada kepatuhan terhadap syarat yang ditetapkan.

Sekiranya mana-mana syarat dilanggar, pengampunan itu terbatal dan Najib perlu kembali ke penjara dengan serta-merta.

Yang tidak tersentuh

Pengampunan ini hanya membabitkan hukuman kes dana SRC International, iaitu enam tahun penjara dan denda RM50 juta selepas dikurangkan Lembaga Pengampunan pada Februari 2024 daripada hukuman asal 12 tahun dan denda RM210 juta.

Ia tidak menyentuh sabitan 1MDB. Pada Disember 2025, Najib disabitkan atas 25 pertuduhan membabitkan RM2.2 bilion dan dijatuhi hukuman tambahan 15 tahun penjara serta denda RM11.38 bilion. Hukuman itu hanya bermula selepas hukuman semasa tamat, dan beliau sedang merayu.

← Kembali ke halaman utama