Sentuhan pelukis Melayu, Syaiful Bahri, membawa nostalgia Proton Saga 1985 ke dalam koleksi UTme! UNIQLO menerusi ilustrasi yang mengangkat kenangan dan rasa bangga terhadap kereta nasional.

Syaiful Bahri, pelukis

Syaiful, yang turut dikenali sebagai O’matajari, menghasilkan ilustrasi untuk koleksi Proton yang ditawarkan menerusi perkhidmatan cetakan khas UNIQLO itu, meliputi kemeja-T dan beg jinjing.

Bagi pelukis itu, cabaran menghasilkan karya berkenaan bukan sekadar melukis semula rupa sebuah kereta. Beliau mahu ilustrasinya membangkitkan perasaan yang dikaitkan dengan model tersebut, khususnya Saga generasi pertama.

Syaiful berkata, beliau memilih pendekatan berunsur vintaj untuk menghidupkan kembali suasana ketika model itu diperkenalkan pada 1985.

“Saya cuba membangkitkan memori di mana saat itu ada rasa bangga dan teruja memandangkan ianya adalah kereta keluaran pertama negara kita,” katanya.

Pendekatan itu berpandukan konsep yang ditetapkan UNIQLO dan Proton, dengan tumpuan kepada kenangan serta kesan jenama kereta nasional tersebut dalam kehidupan rakyat Malaysia.

Antara lukisan Syaiful Bahri yang di hasilkan di cetak di atas baju jenama UNIQLO

Syaiful kemudian memberikan sentuhan kreatifnya untuk menterjemahkan konsep berkenaan kepada ilustrasi.

Pemilihan model pula dibuat oleh kedua-dua syarikat bagi memperlihatkan perkembangan kereta Proton, daripada keluaran terdahulu hingga model lebih baharu.

Selain Saga 1985, koleksi itu menampilkan Satria Neo R3, X50, S70 dan e.MAS 7.

Bagi Syaiful, ilustrasi yang dicetak pada pakaian perlu mempunyai tarikan visual serta membawa makna kepada pemakainya. Dalam projek ini, hubungan antara kereta nasional dengan pengalaman masyarakat menjadi pertimbangan penting dalam penghasilan karya.

“Karya yang ingin dicetak ke atas t-shirt haruslah ada ciri-ciri ilustrasi yang menarik, yang mendatangkan memori atau maksud kepada pemakainya,” katanya.

Keseluruhan proses penghasilan mengambil masa kira-kira sebulan, merangkumi lakaran awal, beberapa pusingan pindaan serta penilaian oleh Proton dan UNIQLO.

Peringkat lakaran pertama mengambil masa sembilan hari sebelum karya itu ditambah baik dalam tempoh lima hari berikutnya.

Selepas dikemukakan kepada Proton untuk penilaian, jumlah kereta yang ditampilkan ditambah daripada empat kepada lima, memerlukan kira-kira lima hari lagi untuk disiapkan.

Proses bagi menghasilkan gambar lukisan ini perlu di buat dengan penuh minat

Karya itu kemudian melalui penilaian UNIQLO di Jepun, sebelum diluluskan dan diberikan kemasan terakhir.

Syaiful menyifatkan peluang menghasilkan ilustrasi bagi koleksi berkenaan sebagai pencapaian tertinggi sepanjang penglibatannya sebagai pelukis.

“Rasa teruja, gembira dan bangga. Ini adalah pencapaian tertinggi selama menjadi pelukis,” katanya.

Pengalaman itu turut mengukuhkan pandangannya bahawa pelukis tempatan perlu terus menghasilkan karya bermutu, membina identiti tersendiri dan berani memperkenalkan hasil kerja mereka.

Baginya, peluang kerjasama sentiasa terbuka, tetapi artis sendiri perlu menentukan hala tuju karya serta cara mereka mahu menyumbang kepada industri seni negara.

Selepas projek ini, Syaiful merancang meneruskan penghasilan karya bertemakan Malaysia, selain terbuka kepada kerjasama lain.

“Selepas ini saya akan terus menghasilkan artwork-artwork yang bertemakan negara kita ini. Untuk kolaborasi lain, jika ada rezeki, takkan ditolak,” katanya.

← Kembali ke halaman utama