KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mungkin berdepan antara satu sama lain pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), namun kedua-dua gabungan itu tidak mustahil kembali membentuk kerajaan bersama jika keputusan pengundian sekali lagi gagal memberikan majoriti jelas kepada mana-mana pihak.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, senario itu boleh berulang sekiranya Parlimen tergantung seperti selepas PRU15, dengan keputusan akhir bergantung kepada titah Yang di-Pertuan Agong.
"Tak mustahil sebab saya nampak, bacaan sayalah, sekiranya dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, untuk mengelakkan ketidakstabilan, maka kita perlu ketepikan perbezaan dan bentuk kerajaan demi kestabilan, kemajuan serta keselamatan negara," katanya.
Fahmi, yang juga Pengarah Komunikasi PH, berkata demikian ketika menjadi tetamu program audio siar The Tiger Show Podcast yang dihoskan wartawan Amin Iskandar.
Melaka: Gabung atau solo?
Mengulas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan datang, Fahmi tidak menolak kemungkinan PH bekerjasama dengan BN, yang menguasai 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), melalui persefahaman politik yang terhad atau bersyarat.
"Itu satu pilihan... kedua adalah totally go solo," katanya.
Beliau turut menyentuh soal pembahagian kerusi dalam sebarang persefahaman bersyarat, serta kemungkinan pertembungan antara calon kedua-dua gabungan di sesetengah kawasan.
Menurut Fahmi, dinamik politik kini berbeza mengikut negeri, dan formula yang berkesan di satu negeri belum tentu sesuai di negeri lain.
"Apa yang berlaku di satu negeri belum tentu sesuai dan berlaku di negeri yang lain... apa yang mungkin kita saksikan di dalam siri PRN, belum tentu akan menjadi seperti yang dijangkakan pada PRU," katanya.
Beliau merujuk pengalaman PH yang tewas teruk pada PRN Melaka 2021, tetapi kemudian memenangi tiga kerusi Parlimen di negeri itu pada PRU15, sementara BN tidak memenangi sebarang kerusi Parlimen di Melaka.
"Pengundi sekarang ni complicated dan kompleks pemikiran dia," katanya.
'Orde baharu' dan garis merah
Fahmi menyifatkan landskap politik negara kini berada dalam fasa peralihan selepas berakhirnya dominasi Umno dan BN yang bertahan kira-kira enam dekad.
"Yang lama, orde lama dah tiada, tetapi yang baharu belum terbentuk sepenuhnya. Jadi yang kita nampak sekarang ini, negeri by negeri ada orde baharu yang cuba dibentuk," katanya.
Menurutnya, kerjasama antara parti hari ini tidak semestinya menyebabkan mana-mana parti kehilangan identiti sendiri.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kesediaan mengetepikan perbezaan ada hadnya. PH, katanya, tidak akan berkompromi terhadap keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang serta kesetiaan kepada Raja dan negara.
"Untuk PH, kita nak reform, kita nak islah. Kita takkan gadai Rukun Negara. Itu pegangan, itulah garis merah yang sebenar," katanya.
Kabinet kekal hingga tamat penggal
Fahmi turut yakin anggota Jemaah Menteri akan kekal profesional dan terus berkhidmat sehingga penggal pentadbiran berakhir, walaupun berlaku pelbagai isu politik termasuk pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Alhamdulillah, kita nampak komitmen daripada semua parti komponen (untuk memastikan kestabilan), tak kiralah apa yang disebut dalam perhimpunan dan sebagainya... ini penting kerana untuk menarik kemasukan pelabur, mereka akan melihat dua perkara utama, iaitu kestabilan politik dan dasar," katanya.
"Jadi, saya percaya pemimpin-pemimpin parti sanggup mengetepikan apa sahaja perbezaan demi negara," katanya .
Kenyataan itu dibuat ketika hubungan dalam Kerajaan Perpaduan sedang diuji.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke mengumumkan hasrat melepaskan jawatan Menteri Pengangkutan pada 19 September sebagai respons parti itu terhadap keputusan pengampunan Najib, manakala PH Pulau Pinang dilaporkan mahu menyemak semula kerjasama dengan Umno di negeri itu.
Pada 18 September, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
← Kembali ke halaman utama