KUALA LUMPUR: Datuk Seri Jamil Khir Baharom dijadualkan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini atas tiga pertuduhan menyalahgunakan harta dengan curang, susulan siasatan terhadap laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji.

Semakan sistem mahkamah menunjukkan prosiding terhadap bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu ditetapkan pada pukul 9 pagi di Mahkamah Sesyen Jenayah 8 di hadapan Hakim Rosli Ahmad, menurut laporan Bernama semalam.

Pendakwaan itu menjadikan Jamil Khir bekas anggota Kabinet pertama dibawa ke mahkamah dalam siri tindakan yang bermula awal bulan ini terhadap bekas pengurusan dan rakan niaga dana haji berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman, memaklumkan saranan pertuduhan itu pada 10 September.

"Pihak kami mengesyorkan tiga pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyalahgunakan harta dengan curang," katanya.

Seksyen 403 memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

Butiran pertuduhan, termasuk jumlah dan tempoh yang terlibat, hanya akan diketahui apabila pertuduhan dibacakan di hadapan hakim pagi ini.

Jamil Khir ditahan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada 2 September sebelum direman selama tujuh hari. Beliau dibebaskan dengan jaminan pada 8 September.

SPRM sebelum ini memaklumkan sebahagian aset yang disiasat terletak di Arab Saudi, dan beberapa siasatan membabitkan entiti luar negara masih berjalan.

Jamil Khir memegang jawatan menteri yang menyelia hal ehwal agama dari April 2009 hingga Mei 2018, tempoh yang bertindih dengan skop kajian RCI antara 2014 hingga 2020.

Laporan setebal 211 halaman yang didedahkan pada 29 Julai itu merekodkan kelemahan tadbir urus, campur tangan politik serta keputusan pelaburan yang dipersoalkan di Lembaga Tabung Haji, selain mengemukakan 25 syor bagi memperbaiki ketelusan dan profesionalisme badan berkenaan.

Sejak awal September, beberapa individu lain sudah dihadapkan ke mahkamah berhubung laporan sama. Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, didakwa pada 9 September di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, manakala dua bekas pegawai TH Properties Sdn Bhd, Tengku Kamarolhisham Tengku Kamaruddin dan Nasahruddin Ahmad, didakwa pada 3 September di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Maritim Sdn Bhd, Datuk Azmi Ahmad, didakwa pada 10 September atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan. Pertuduhan terhadap bekas Ketua Pegawai Operasi Lembaga Tabung Haji, Datuk Adi Azuan Abdul Ghani, pula ditangguhkan ke 24 September atas alasan kesihatan.

← Kembali ke halaman utama