KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) kekal berpendirian bahawa individu yang disabitkan dalam kes rasuah berprofil tinggi wajar menjalani hukuman sepenuhnya, walaupun parti itu menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong.

Pengarah Komunikasi PH Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pendirian itu tidak berubah susulan pengampunan bersyarat yang diperkenankan terhadap bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak minggu lalu.

"Individu yang terlibat dalam kes rasuah berprofil tinggi perlu menjalani hukuman penuh sebagai pengajaran kepada rakyat," katanya.

Fahmi, yang juga menteri komunikasi, berkata demikian ketika menjadi tetamu program audio siar The Tiger Show Podcast yang dihoskan wartawan Amin Iskandar.

Beliau berkata PH menghormati kuasa Sultan Ibrahim dalam urusan pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, dan melihat keputusan itu sebagai dibuat berlandaskan Perlembagaan dan undang-undang negara.

Menurutnya, pendirian PH juga tidak didorong oleh sentimen terhadap mana-mana individu.

"Ini bukan satu perkara bersifat dendam atau peribadi terhadap sosok tubuh seseorang yang bernama Datuk Seri Najib... Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pun banyak kali dalam Parlimen dan luar Parlimen berkata bahawa beliau tidak ada apa-apa motif dendam tetapi ini adalah kedaulatan undang-undang," katanya.

Pada 18 September, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya memutuskan Najib boleh menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta dan syarat lain. Pengampunan itu terbatal jika mana-mana syarat tidak dipatuhi.

Kutipan denda dan kuasa pengundi

Dalam wawancara itu, Amin membangkitkan kutipan dana awam untuk membantu Najib melunaskan denda tersebut, serta kecenderungan sebahagian pihak mengangkat pesalah rasuah sebagai wira.

Fahmi menjawab dengan menegaskan penolakan PH terhadap rasuah, sambil menyatakan pengundi mempunyai kuasa untuk menghukum di peti undi.

Umno melancarkan Tabung Solidariti Najib Razak pada 18 September. Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sumbangan dibuat secara sukarela, dan inisiatif itu akan dilaksanakan secara telus serta mematuhi undang-undang.

Setiausaha Agung Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pula berkata, ramai penyumbang memberi serendah RM10 dan RM50, dan menegaskan tiada pihak diwajibkan menyumbang.

Beliau menyifatkan tabung itu sebagai tanda keprihatinan dan solidariti terhadap Najib.

Menurut Asyraf, kutipan mencecah RM1 juta pada pagi 19 September, dan beliau menjangka jumlahnya mencapai RM2 juta pada 21 September. Jumlah terkini belum diumumkan.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, sebelum ini berkata anak guamnya sukar memenuhi syarat denda kerana sebahagian besar aset beliau masih dibekukan. Peguam Negara pula dilaporkan berkata awal minggu ini bahawa belum ada perkembangan berhubung bayaran denda tersebut.

'Bukan individu, tetapi institusi'

Fahmi berkata perjuangan PH lebih besar daripada soal seorang individu, iaitu membaiki institusi yang sepatutnya melindungi wang rakyat.

"Bukan individu Najib Razak, tetapi yang memungkinkan perkara itu berlaku. Institusi inilah yang sepatutnya menjaga duit rakyat," katanya.

Beliau merujuk kesan isu melibatkan Lembaga Tabung Haji dan Felda terhadap masyarakat, khususnya orang Melayu yang bergantung kepada institusi berkenaan.

"Saya sensitif mengenai Felda sebab ayah saya kerja Felda. Hutang 1MDB sampai 20 hingga 30 tahun kena bayar," katanya.

Menurut Fahmi, wang yang terpaksa digunakan untuk melunaskan hutang itu sepatutnya boleh membiayai hospital, klinik dan infrastruktur asas lain untuk rakyat.

Rekod Kementerian Kewangan menunjukkan jumlah keseluruhan obligasi 1MDB yang ditanggung kerajaan ialah RM51.4 bilion. 

Daripada jumlah itu, RM42.5 bilion telah dibayar, manakala baki RM8.9 bilion adalah dalam bentuk sukuk jaminan kerajaan yang terdiri daripada prinsipal RM5 bilion dan faedah RM3.9 bilion, yang akan matang pada 2039.

Kerajaan setakat ini memperoleh semula RM31.3 bilion menerusi usaha pemulihan aset di beberapa negara, menjadikan anggaran kerugian bersih yang perlu ditanggung kira-kira RM20 bilion, menurut kementerian itu dalam kenyataan pada 13 September.

← Kembali ke halaman utama