KUALA LUMPUR: Keputusan menurunkan kandungan di media sosial dibuat oleh penyedia platform sendiri dan bukan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) atau mana-mana menteri, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Beliau menolak dakwaan kerajaan menggunakan MCMC sebagai alat politik untuk menyekat kebebasan bersuara, sebaliknya menyifatkan suruhanjaya itu sebagai saluran perlindungan pengguna di ruang digital.

"Ramai salah faham, contohnya mengenai penurunan kandungan di platform media sosial seperti di Facebook, ia bukan seorang menteri yang putuskan, bukan Fahmi Fadzil, bukan MCMC tetapi tindakan platform itu sendiri," katanya.

Fahmi berkata demikian ketika menjadi tetamu program audio siar The Tiger Show Podcast yang dihoskan wartawan Amin Iskandar.

Menurutnya, aduan yang diterima MCMC dipanjangkan kepada penyedia platform, yang kemudian menilai sama ada sesuatu kandungan melanggar Garis Panduan Komuniti masing-masing atau Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

"Contohnya kalau saya mengadu kepada MCMC, saya buat aduan sendiri, belum tentu kandungan itu diturunkan, yang menurunkan kandungan tu adalah Facebook, TikTok sekiranya mereka review dan bersetuju sesuatu kandungan itu melanggar undang-undang," katanya.

Beliau memberi gambaran skala permintaan yang dihantar suruhanjaya itu.

"Sebab itu, katakanlah sekarang MCMC hantar hampir setengah juta permintaan untuk turunkan kandungan, mungkin daripada keseluruhan jumlah itu hanya 90 peratus sahaja yang diturunkan kerana ini tindakan penyedia platform, bukan diputuskan MCMC," katanya.

Fahmi berkata semua penyedia platform yang beroperasi di Malaysia setakat ini memberi kerjasama, terutama dalam menangani kandungan menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja (3R).

Namun, kandungan berbentuk satira dan ejekan lazimnya dinilai platform sebagai tidak melanggar undang-undang, katanya.

'Alat untuk rakyat'

Mempertahankan peranan MCMC, Fahmi berkata sebahagian besar aduan yang diterima datang daripada orang ramai yang berdepan ancaman dalam talian.

"MCMC adalah alat untuk (keselamatan) rakyat... mereka ada mengadu tentang buli siber, tentang sebaran gambar intim, tentang scam dan banyak lagi... jadi, sebaik mana rakyat mahukan perkhidmatan MCMC maka berkhidmatlah MCMC ini," katanya.

Beliau turut merujuk pindaan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia sebagai contoh reformasi, yang menurutnya memastikan parodi dan satira tidak lagi mudah dianggap kesalahan, serta menaikkan ambang daripada kandungan "jelik" kepada "jelik melampau".

"Jadi untuk pihak pendakwaan dan pembelaan, dia tahu macam mana nak berhujah di mahkamah... At least satu reformasi dalam MCMC itu sendiri," katanya.

Penjelasan Fahmi membezakan dua peranan dalam proses penurunan kandungan. Platform ialah pihak yang melaksanakan penurunan, manakala MCMC ialah pihak yang menyalurkan permintaan, sama ada berpunca daripada aduan awam atau rujukan agensi.

Dalam kerangka itu, jumlah permintaan yang dihantar MCMC dan kadar ia dipatuhi platform menjadi ukuran penting untuk menilai akauntabiliti pengawal selia.

Pecahan permintaan tersebut mengikut kategori kandungan, sumber aduan, asas undang-undang yang digunakan serta alasan platform menolak sesuatu permintaan tidak didedahkan dalam wawancara itu. Saluran rayuan bagi pengguna yang kandungannya diturunkan juga tidak disentuh.

← Kembali ke halaman utama