Stesen pemantauan di Ibu Pejabat Polis Daerah Serian mencatat Indeks Pencemar Udara (IPU) 519 pada pukul 3.50 petang, 4 September, bacaan tertinggi di seluruh negara ketika itu.
Bacaan berkenaan melepasi paras 500, iaitu ambang yang selama ini menjadi asas pertimbangan pengisytiharan darurat jerebu di negara ini.
Sebagai perbandingan, Muar di Johor mencatat IPU 746 pada pukul 7 pagi, 23 Jun 2013, manakala Kuching dilaporkan mencecah 839 pada September 1997. Bacaan Kuching itu kekal sebagai yang tertinggi pernah direkodkan di Malaysia.
Empat darurat jerebu dalam tempoh 29 tahun
Menurut kronologi episod jerebu yang disiarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS), darurat pertama diisytiharkan di kawasan Kuching dari 19 hingga 28 September 1997 apabila IPU melepasi paras 500.
Krisis itu berpunca daripada kebakaran hutan dan tanah gambut berskala besar di Kalimantan dan Sumatera, diburukkan lagi oleh cuaca luar biasa kering akibat fenomena El Nino. Laporan media meletakkan kemuncak bacaan di Kuching pada 839, sementara sebahagian rekod lain menyebut angka sekitar 860.
Lapan tahun kemudian, giliran Semenanjung pula. Pada 10 Ogos 2005, Pelabuhan Klang mencatat IPU 424 dan Kuala Selangor 418. Keesokan harinya bacaan di kedua-dua kawasan melepasi 500, lalu Perdana Menteri ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi, mengisytiharkan darurat pada 11 Ogos.
Pelabuhan Klang, sekolah, pejabat kerajaan dan swasta, kilang serta tapak pembinaan ditutup sepenuhnya, manakala pasar raya, farmasi dan perkhidmatan penting dibenarkan terus beroperasi. Darurat ditamatkan pada 13 Ogos selepas kualiti udara bertambah baik.
Rekod paling tinggi di Semenanjung dicatatkan pada 2013. Muar merekodkan IPU 746, lebih dua kali ganda paras berbahaya, menurut JAS seperti dilaporkan The Star. Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak, mengisytiharkan darurat di Muar dan Ledang pada hari yang sama, sebelum ditamatkan pada 24 Jun apabila IPU turun di bawah 300.
Dua hari selepas darurat ditarik balik, Pelabuhan Klang pula mencatat IPU 487 pada pagi 25 Jun, hampir mencecah semula paras darurat.
Serian 2026: 647 sekolah ditutup
Di Serian, darurat diisytiharkan pada 4 September selepas bacaan mencecah 519. Sebanyak 647 sekolah ditutup, manakala pejabat kerajaan dan swasta, ladang, tapak pembinaan serta kuari dihentikan operasi, dengan hanya perkhidmatan penting dibenarkan berjalan.
Operasi pembenihan awan dilaksanakan bermula Khamis dan dilanjutkan berikutan ramalan keadaan atmosfera yang sesuai.
Pada hari yang sama, Kuching mencatat IPU 313, Samarahan 284 dan Sri Aman 236. Dalam sistem IPU, bacaan 301 ke atas dikategorikan sebagai berbahaya, manakala 201 hingga 300 sangat tidak sihat.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan penamatan darurat itu pada 7 September, atas nasihat Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Abang Johari Tun Openg, selepas bacaan di Bahagian Serian tidak lagi berada pada paras bahaya. Pengumuman dibuat menerusi Pejabat Perdana Menteri.
Kualiti udara di beberapa kawasan berhampiran seperti Samarahan bagaimanapun masih berada pada tahap sangat tidak sihat ketika darurat ditamatkan.
Dua rekod, dua wilayah
Rekod jerebu Malaysia sebenarnya terbahagi kepada dua kisah wilayah yang berbeza.
Di Sarawak, bacaan tertinggi ialah 839 di Kuching pada 1997, diikuti 519 di Serian pada tahun ini. Di Semenanjung pula, rekod tertinggi ialah 746 di Muar pada 2013, diikuti bacaan melepasi 500 di Pelabuhan Klang dan Kuala Selangor pada 2005.
Dalam episod semasa, Semenanjung tidak berdepan bacaan setinggi itu. Kebanyakan kawasan di Selangor, Kuala Lumpur dan Johor kekal dalam kategori tidak sihat, iaitu antara 101 hingga 200, sepanjang Ogos dan awal September.
Puncanya kekal sama seperti tiga dekad lalu, iaitu kebakaran hutan dan tanah gambut di Kalimantan dan Sumatera. Jerebu rentas sempadan itu turut menjejaskan Sabah, Brunei dan Singapura, manakala di Filipina, kelas di Metro Manila dan lebih sedozen wilayah terpaksa digantung.
← Kembali ke halaman utama