KOTA KINABALU: Empat lelaki maut selepas kereta Perodua Viva yang dinaiki mereka terbabas lalu merempuh sebuah lori yang berada di bahu jalan berhampiran Taman Jaya Diri, Jalan Sepanggar, di sini, awal pagi ini.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu, Mohd Hannis Moktar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.37 pagi sebelum enam anggota bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira 20 kilometer dari balai.

Menurut kenyataan beliau yang dilaporkan Sinar Harian, kereta itu terbabas dari jalan dan merempuh lori lima tan yang berada di tepi jalan, menyebabkan keempat-empat mangsa tersepit di dalam kenderaan.

Anggota bomba mengeluarkan kesemua mangsa menggunakan peralatan khas, dan petugas perubatan mengesahkan mereka meninggal dunia di lokasi kejadian.

Operasi menyelamat tamat pada 3.55 pagi, dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Identiti dan umur mangsa belum didedahkan. Punca kereta itu hilang kawalan juga belum diketahui dan tertakluk kepada siasatan polis.

← Kembali ke halaman utama