KLANG: Empat daripada tujuh pemancing yang dilaporkan hilang di perairan One Fathom Bank ditemui terapung dalam keadaan lemah di perairan Sekinchan, kira-kira 25 batu nautika dari pantai Sungai Besar, semalam.
Mereka ditemui bot nelayan tempatan pada 9.50 pagi, berdekatan antara satu sama lain. Dua mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang dan dua lagi ke Hospital Banting untuk pemeriksaan kesihatan.
Mereka yang selamat ialah tekong bot Zulfikalnain Awang, 47, bersama Mohd Shairazi Abdul Aziz, 43, Mohd Rizal Mohamad Sadali, 45, dan Muhd Hamiszar Punirain, 45.
Tiga lagi yang masih dicari ialah Muhamad Ridzuan Ruhaizat, 37, Mohd Shahril Abd Rahman, 43, dan Raja Mohd Rozi Raja Mohamad, 49.
Pengarah Maritim Negeri Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata operasi mencari dan menyelamat bagi mengesan tiga mangsa berkenaan diteruskan.
Sektor carian merangkumi 203.5 batu nautika persegi di laut dan 764 batu nautika persegi dari udara, membabitkan aset laut dan udara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta dua bot nelayan tempatan.
Kumpulan itu bertolak dari Jeti Sementa di Kapar pada 8.20 pagi Ahad untuk memancing ikan cencaru di perairan One Fathom Bank, kira-kira 40 kilometer dari pantai Sungai Besar, dan sepatutnya pulang ke Jeti Pangkalan Polis Marin Pelabuhan Klang pada 8.30 malam hari sama.
Laporan kehilangan diterima pada 3.35 pagi Isnin. Aset Maritim Malaysia digerakkan lima minit kemudian sebelum operasi mencari dan menyelamat diaktifkan secara rasmi pada 5 pagi.
Bot yang dinaiki kumpulan itu dipercayai terbalik selepas dipukul ombak setinggi empat meter di perairan berhampiran Pulau Ketam. Punca sebenar kejadian sedang disiasat Maritim Malaysia.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara Superintendan Mohd Rahimi Zainol mengesahkan tiga mangsa masih belum dikesan sehingga 5.30 petang semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri Sementa Noor Najhan Mohamad Salleh berkata pihak berkuasa turut berhubung dengan pihak Indonesia bagi mendapatkan maklumat sama ada terdapat nelayan atau pemancing ditemui di kawasan berkenaan.
Keadaan jerebu dilaporkan mengehadkan jarak penglihatan dan menyukarkan operasi di kawasan carian.
← Kembali ke halaman utama