BENTONG: Seorang pekerja Coffee Bean lemas ketika mandi di Hutan Lipur Chamang di sini pada 29 September ketika menyertai aktiviti riadah bersama 13 rakan sekerja.
Mohd Aiman Nazmi Mohd Yusuf, 29, dari Felda Endau, Johor, disahkan meninggal dunia di lokasi. Kesemua rakannya, terdiri daripada lapan lelaki dan lima wanita, selamat.
Kumpulan berkenaan bekerja di cawangan Coffee Bean di Caltex Sungai Besi.
Panggilan kecemasan diterima pada pukul 1.29 petang sebelum lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bentong dikerahkan ke kawasan itu.
Ketika pasukan bomba tiba pada pukul 2.11 petang, petugas perhutanan sudah membawa mangsa keluar dari air. Mangsa ditemukan kira-kira 20 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.
Pemeriksaan petugas Kementerian Kesihatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia. Mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
← Kembali ke halaman utama