PROBOLINGGO, Jawa Timur: Seluruh laluan pelancongan ke Gunung Bromo ditutup mulai Sabtu selepas kebakaran hutan dan lahan di Taman Nasional Bromo Tengger Semeru (TNBTS) merebak ke Lembah Watangan dan bergerak ke arah Kabupaten Malang.
Balai Besar TNBTS menghentikan kemasukan pengunjung dari empat pintu masuk, iaitu Jemplang di Kabupaten Malang, Cemoro Lawang di Probolinggo, Wonokitri di Pasuruan dan Senduro di Lumajang. Kawasan itu biasanya menerima kuota 2,752 pengunjung sehari.
Ketua Balai Besar TNBTS, Rudijanta Tjahja Nugraha berkata penutupan dikenakan bagi mengefektifkan operasi pemadaman, dengan akses ke lokasi kebakaran dikhususkan kepada petugas, rakan kerjasama dan sukarelawan yang terlibat.
Penutupan berkuat kuasa sehingga pengumuman lanjut dan tiada tarikh ditetapkan untuk kawasan itu dibuka semula. Aktiviti pelancongan di Ranu Regulo dikecualikan dan masih dibenarkan mengikut peraturan sedia ada.
Api mula dikesan kira-kira pukul 4 petang Khamis di Savana Pengol, Desa Ngadas, Kecamatan Sukapura, sebelum merebak ke arah Gunung Kursi.
Pasukan gabungan seramai 56 anggota daripada TNBTS, Manggala Agni dan kumpulan Masyarakat Peduli Api digerakkan ke lokasi, dibantu lapan anggota Manggala Agni BKSDA Bali dan 15 anggota Brigade Pengendalian Kebakaran Hutan. Mereka menggunakan dua kereta tangki air, jet shooter dan blower, selain sokongan operasi water bombing yang dikendalikan kerajaan wilayah Jawa Timur.
Sebuah helikopter menjatuhkan kira-kira 17,000 liter air menerusi 17 penerbangan sehingga tengah hari Jumaat, dengan bekalan air diambil dari Ranu Pani di Senduro, Lumajang.
Api yang menghala ke arah Bromo berjaya dipadamkan menjelang 6.30 petang Jumaat, tetapi kebakaran di Gunung Kursi hanya dapat dikawal dan tidak padam sepenuhnya.
Keadaan bertambah buruk pada Sabtu apabila titik api baharu muncul semula di Pengol. Tiupan angin kencang mempercepat rebakan sehingga api sampai ke Pos Jemplang menjelang 4.20 petang.
Ketua Badan Penanggulangan Bencana Daerah (BPBD) Probolinggo, Oemar Sjarief berkata api sudah membakar Lembah Watangan dan pergerakannya menghala ke Malang.
“Angin kencang menyebabkan api merebak sangat cepat ke dua arah,” katanya.
Lembah Watangan lebih dikenali pengunjung sebagai Bukit Teletubbies dan menjadi antara lokasi paling kerap dikunjungi di kawasan taman nasional itu.
Musim kemarau panjang menyebabkan rumput dan vegetasi di kawasan berkenaan kering kerontang, sekali gus meningkatkan risiko api merebak apabila keadaan berangin. Asap tebal turut menghadkan jarak penglihatan dan menyukarkan operasi di darat.
Beberapa hari sebelum kebakaran terbaharu, TNBTS menggantung sementara kebenaran bagi aktiviti penggambaran komersial dan bukan komersial di Gunung Bromo serta kawasan sekitarnya berikutan peningkatan risiko kebakaran.
Ini adalah kebakaran kedua yang melanda kawasan itu dalam tempoh kira-kira sebulan. Kebakaran yang bermula di Blok Bantengan pada 3 Ogos merebak ke Watu Gede dan memusnahkan lebih 1,000 hektar kawasan taman nasional, dengan catatan rasmi yang dilaporkan pada 13 Ogos mencecah 1,069 hektar.
Luas kawasan terbakar dalam kejadian terbaharu masih belum dimuktamadkan.
Punca kebakaran juga masih dalam siasatan. Orang ramai diminta tidak memasuki kawasan yang ditutup dan menunggu pengumuman rasmi TNBTS mengenai pembukaan semula Gunung Bromo.
← Kembali ke halaman utama