KUALA LUMPUR: Pelukis dan penulis, Ismail Ariffin mencabar Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) agar terus menyebut namanya dalam khutbah Jumaat secara tetap sekiranya benar-benar yakin pemikiran dan fahamannya boleh menyelewengkan umat Islam.
Beliau yang dikenali sebagai Lepat mempersoalkan mengapa namanya hanya disebut dalam khutbah pada satu-satu ketika sekiranya pihak berkenaan benar-benar menganggap dirinya membawa fahaman yang merbahaya kepada umat Islam.
“Kalau betul-betul you yakin aku macam ni, buat tiap-tiap minggu,” katanya dalam satu wawancara bersama The Tiger Show Podcast yang disiarkan malam tadi.
Katanya, jika tujuan menyebut namanya dalam khutbah adalah untuk memberi amaran kepada masyarakat, peringatan itu sepatutnya diteruskan selagi beliau masih dianggap membawa fahaman yang “sesat”.
Beliau menggunakan analogi papan tanda amaran mengenai kehadiran harimau bagi menjelaskan pendiriannya.
Menurutnya, jika seekor harimau masih berada di sesuatu kawasan dan dianggap berbahaya, papan tanda amaran tidak sepatutnya diturunkan selepas hanya seminggu.
“Kalau hangpa concern Lepat ni menyeleweng masyarakat Islam di Penang atau satu Malaysia, harimau tu masih hidup. Pasal apa hangpa cabut signboard? Aku masih hidup,” katanya.
Nama Ismail disebut dalam khutbah yang merujuk keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang Bilangan 2/2021 berhubung pemikiran dan fahamannya.
Antara perkara yang disebut ialah pemikiran dan fahaman Ismail Ariffin atau Lepat dianggap menyeleweng daripada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah, termasuk perkara berkaitan makrifatullah serta perbincangan mengenai khusyuk dalam solat daim.
Khutbah itu turut menyebut bahawa penulisan beliau hendaklah ditarik balik dan diharamkan daripada berada di pasaran kerana dikatakan boleh mengelirukan masyarakat.
Bagaimanapun, Lepat mempersoalkan asas tuduhan berkenaan dan mengatakan sepatutnya diberikan ruang untuk menjawab setiap perkara yang dikaitkan dengannya.
Katanya, pihak yang membuat tuduhan perlu menunjukkan daripada mana kenyataan atau pemikiran yang dipertikaikan itu diperoleh.
Lepat turut mendakwa tindakan menyebut namanya dalam khutbah tetapi tidak memberikan ruang yang sama untuk beliau mempertahankan diri menimbulkan persoalan mengenai tujuan sebenar tindakan berkenaan.
“Hangpa nak bagi aku malu? Yang sebenarnya hangpa nak buat naya kat aku.
“Hangpa bukan nak tolong orang yang ramai ni pun,” katanya dalam loghat Pulau Pinang.
← Kembali ke halaman utama