PUTRAJAYA: Dua beradik tokoh korporat, masing-masing bergelar Datuk Seri dan Datuk Wira, direman lima hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna kedudukan dalam urusan pelaburan bernilai kira-kira RM10 juta.

Perintah reman bermula semalam hingga 5 Oktober itu dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Kedua-dua lelaki berusia 40-an dan 50-an itu ditahan kira-kira jam 9 malam, Rabu, selepas hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini.

Menurut laporan Bernama, kedua-dua suspek disyaki bersubahat dengan seorang pegawai sebuah yayasan berasaskan pendidikan untuk meluluskan pelaburan kira-kira RM10 juta kepada sebuah syarikat pelaburan milik si abang pada penghujung 2020.

SPRM turut menyita 15 kereta mewah, 12 motosikal berkuasa tinggi, lima jam tangan mewah, tiga gelang tangan dan wang tunai kira-kira RM30,000.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman mengesahkan penahanan kedua-dua individu berkenaan dan berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Kedua-dua suspek belum didakwa di mahkamah dan siasatan masih diteruskan.

← Kembali ke halaman utama