Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah di Mahkamah Majistret Putrajaya susulan permohonan polis di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah. Suspek yang bekerja sebagai tukang masak itu dibawa keluar dari perkarangan mahkamah diiringi anggota polis kira kira jam 11 pagi tadi, dengan kepala tunduk sepanjang laluan menuju kenderaan polis.
Insiden bermula kira kira jam 5 pagi, 31 Ogos lalu, apabila seorang lelaki berbaju oren atau coklat, yang kemudiannya digelar netizen sebagai "abang baju coklat", dipercayai cuba melompat pagar kawasan tempat duduk sebelum ia dibuka secara rasmi. Tindakannya turut menyebabkan orang ramai berhampiran merempuh barisan hadapan untuk merebut tempat duduk, sehingga berlaku insiden tolak menolak yang menyebabkan beberapa individu terjatuh dan cedera.
Kejadian itu dirakam dalam video sepanjang dua minit 18 saat yang dimuat naik pemilik akaun Facebook "Anwar Captain Goose", lalu tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Polis (ACP) Aidi Sham Mohamed berkata pihaknya menerima lima laporan polis berkaitan kejadian itu, selain mengambil tujuh rakaman percakapan saksi. Suspek turut disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 berikutan keputusan ujian dadah tersebut.
Menurut Aidi Sham, masih belum pasti bila suspek akan didakwa kerana perkara itu bergantung kepada arahan Timbalan Pendakwa Raya.
← Kembali ke halaman utama