WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan beliau menyekat CNN, MS NOW dan Politico daripada White House berkuat kuasa serta-merta, dengan alasan ketiga-tiga organisasi itu menyiarkan berita palsu.

"Saya dengan bangganya mengumumkan bahawa, berkuat kuasa serta-merta, saya menyekat Fake News CNN, MSNOW dan Politico daripada White House berikutan 'laporan' berita palsu mereka yang berterusan," katanya menerusi hantaran di Truth Social pada Jumaat.

Beliau menambah bahawa organisasi media lain akan menyusul.

Ketika ditanya di Pejabat Oval, Trump mengaitkan keputusan itu dengan liputan media sepanjang dua tahun kebelakangan.

"Sebab mereka berita palsu. Saya sudah terlalu jemu membaca dan melihat berita palsu," katanya.

Ditanya sama ada tindakan itu bertujuan menakutkan media, beliau menjawab: "Tidak, tidak, tidak, tidak. Saya tidak suka media yang tidak jujur, seperti awak."

Setakat laporan diterbitkan, skop sebenar sekatan itu belum jelas, termasuk sama ada wartawan organisasi berkenaan akan kehilangan pas akhbar White House sepenuhnya atau sekadar dihalang daripada sesi taklimat tertentu.

Pengarah Eksekutif Knight First Amendment Institute di Universiti Columbia, Jameel Jaffer menyifatkan sekatan itu tidak berperlembagaan, dengan berkata ia melanggar perlindungan Pindaan Pertama terhadap pengecualian berasaskan pandangan daripada ruang awam.

Mahkamah pernah menyentuh isu ini. Dalam kes Sherrill lawan Knight pada 1977, diputuskan White House tidak boleh menolak pas akhbar seorang wartawan tulen secara sewenang-wenangnya, dan perlu memberikan notis, peluang menjawab serta penjelasan bertulis apabila pas ditolak.

Pertikaian serupa masih berjalan. Pada 2025, White House mengehadkan akses Associated Press selepas agensi itu terus menggunakan nama Gulf of Mexico dan bukan Gulf of America seperti dikehendaki Trump. Seorang hakim persekutuan mengeluarkan injunksi awal yang mengarahkan sekatan itu dihentikan, sebelum mahkamah rayuan menangguhkan sebahagian besar perintah tersebut.

Sejak kembali ke White House, pentadbiran Trump menyusun semula akses kepada ruang pejabat di premis itu dan kepada sesi taklimat. Ia turut memfailkan tindakan undang-undang terhadap beberapa organisasi media, termasuk The New York Times, The Wall Street Journal dan BBC.

MS NOW ialah nama baharu bagi saluran berita MSNBC, selepas ia dipisahkan daripada NBCUniversal di bawah syarikat Versant dan dijenamakan semula pada November tahun lalu.

Beberapa penyumbang di Fox News turut mengkritik langkah tersebut, menurut laporan The Hill.

← Kembali ke halaman utama