KUALA LUMPUR: Peminat BTS beratur seawal 3 pagi di beberapa cawangan Maybank hari ini bagi mendapatkan kad debit edisi terhad kumpulan itu, menurut perkongsian di media sosial.

Maybank mula mengeluarkan Kad Debit Visa BTS WORLD TOUR 'Arirang' di 12 cawangan terpilih mulai hari ini. Setiap cawangan hanya mengeluarkan 60 keping kad sehari, tertakluk kepada stok.

Seorang pengguna Threads, Irfan Othman yang bekerja dengan bank itu berkongsi keadaan barisan di cawangan Shah Alam.

"Power akak ni beratur sejak pukul 3 pagi untuk kad BTS," tulisnya.

Seorang lagi pengguna, Diahhbahri berkata kumpulannya tiba pada 4.30 pagi, manakala Nina Enany pula berada di lokasi menjelang 7 pagi. Barisan turut dilaporkan di cawangan Bukit Bintang.

"Terima kasih Maybank Shah Alam, staf semua sempoi," tulis Diahhbahri.

Cara mendapatkannya

Kad itu boleh diperoleh di kaunter 12 cawangan terpilih, iaitu Bukit Bintang, Mid Valley City, KL Main di Menara Tun Perak, Dataran Maybank, PJ Main, Shah Alam Main, Penang Main di Lebuh Union, Ipoh Main, Kuantan Main, Johor Bahru Main di City Square, Karamunsing dan Kuching Main.

Pemegang kad debit sedia ada juga boleh memohon penukaran secara dalam talian menerusi Maybank2u mulai 28 September, tertakluk kepada stok. Caj penukaran kad ialah RM12.

Selain reka bentuk edisi terhad, pemegang kad yang berbelanja minimum RM400 layak menyertai peraduan memenangi tiket konsert BTS pada 12 Disember. Kempen itu berlangsung dari hari ini hingga 1 November.

← Kembali ke halaman utama